Kalau sembang dengan petani, kadang-kadang sampai pening bila mereka bercakap tentang cili. Kita cuma terdedah kepada beberapa jenis cili saja di Malaysia ini. Tapi, tahukah anda bahawa sebenarnya ada 5 jenis cili yang sering dimakan? Bagaimana caranya untuk membezakannya?
Cili Merah Besar dan Cili Hijau Besar
Kita kenal sebagai cili merah besar. Tapi, bila kami menghantar pesanan, kami perlu sebut keluarga cili ini. Yang selalu kami jual, dipanggil, Cili Kulai 461. Ya, ada nombor. Kalau nak lebih spesifik lagi, Cili Minyak Kulai 461. Ini yang selalunya kita jumpa dekat pasaraya yang ditulis sebagai cili merah atau cili hijau. Ia tak sama dengan cili yang selalu digunakan untuk buat solok lada. Itu kategori lain, ya?
Sekiranya menggunakan sistem fertigasi, penanamannya mengambil masa antara 60 – 65 hari dan ditanam di dalam cocopeat. Ianya boleh ditanam di atas lantai yang diletakkan dengan silvershine atau sekiranya kawasan penanaman sering dilanda banjir, sebaiknya ditanam di atas para. Kebanyakan petani menggunakan baja A & B untuk membesarkan pokok, tak kurang juga yang menggunakan baja Liguano. Ini antara baja-baja yang lebih dikenali dalam penanaman cili.
Cili Bara dan Cili Kampung
Lebih dikenali dengan nama Cili Padi atau Cili Kampung, sebenarnya Cili Bara tak sama dengan Cili Kampung. Cili Bara bersaiz kecil dan berwarna hijau dan merah. Ya, bila ia masak, ia berwarna hijau dan merah.
Jadi, apa bezanya?
Beza Cili Kampung dan Cili Bara ialah:
1.Bau – Cili Kampung akan mengeluarkan bau yang lebih buat berbanding Cili Bara
2.Bentuk – Cili Kampung juga tak mempunyai bentuk licin macam Cili Bara. Biasanya ia akan berkedut sedikit. Dari segi rasa, ianya tak banyak beza. Tahap kepedasan Cili Kampung & Cili Bara selalunya akan membuatkan kita terus hungga mencapai air.
Dari segi harga pula, Cili Kampung jauh lebih mahal dari Cili Bara hanya kerana baunya yang semerbak. Menggunakan sistem fertigasi, tuaian pertama dapat dilakukan antara 75 – 90 hari. Ya, lebih lama dari Cili Kulai.
Juga menggunakan baja A & B untuk membesarkan pokok dan mampu memberikan antara 1.5kg hingga 2.5kg sepokok. Nak kutip cili-cili kecil ini sebenarnya lebih renyah berbanding cili-cili besar, jadi lebih baik ianya ditanam di atas para kalau tidak, nanti lenguh belakang.
Cili Akar
Juga dikenali sebagai Pree-Kee-Noo dalam bahasa Thai. Orang selalu salah sangka bahawa Pree-Kee-Noo ialah Cili Padi. Tapi sebenarnya, kalau ikutkan, ianya Cili Akar. Seperti Cili Padi, dari tanaman ke tuaian mengambil masa 90 hari. Penjagaan lain sama seperti penjagaan cili-cili lain.
Jadi sekarang dah tahu kan? Bukan semua jenis cili tu sama. Oh ya, kesemua ini ada terjual di Kebun Kita. Kalau nak tahu beza dia, kena beli setiap jenis, tengok dan rasa.