5 OKTOBER 2021, KUALA LUMPUR – Patriots Holding melancarkan cabang e-dagang perniagaan taninya sendiri, Kebun Kita bagi membantu dalam menangani krisis keselamatan sumber makanan Malaysia. Pada tahun 2019, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mendedahkan bahawa Malaysia belum mencapai tahap mencukupi untuk makanan asas, walaupun telah banyak usaha dilakukan untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan meningkatkan rantaian bekalan produk segar di peringkat nasional.
“Kami dapati antara salah satu sebab utama berlakunya masalah ini adalah ketidakseimbangan harga yang dihadapi oleh para petani. Ia tidak patut berlaku kerana petani ialah tulang belakang sebenar negara. Oleh itu merekalah yang seharusnya menjadi pihak yang menetapkan harga pasaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Patriots Holding, Jamalee Bashah.
“Industri ini (pertanian dan makanan) disatukan dengan sejumlah industri lain di negara ini dengan para petani berada di tengah-tengahnya. Sekiranya mereka terdorong untuk kerugian dan muflis kerana tidak diberi kekuatan untuk meminta apa yang adil bagi mereka, maka negara kita pasti akan terus tidak mampu sediakan sumber makanan untuk keperluan rakyat sendiri.”
Menyedari hal ini, Kebun Kita ditubuhkan untuk merapatkan jurang pasaran dan untuk menangani masalah ketidakseimbangan harga yang berterusan dalam industri ini. Kebun Kita membeli secara langsung daripada petani-petani kecil lalu mengedarkan barang tersebut kepada pengguna akhir dan pengusaha perniagaan.
Lebih menarik lagi, Kebun Kita membolehkan para petani menetapkan harga barang sendiri untuk pastikan bahawa mereka menjual dengan beroleh keuntungan. Ini akan mewujudkan hubungan menang-menang. Sehingga kini, Kebun Kita telah menjalin kerjasama dengan beberapa ladang serta pekebun kecil di beberapa negeri dan juga dengan pembekal makanan tempatan.
Kebun Kita juga berhasrat untuk menubuhkan rangkaian gudang mikro yang dipanggil ‘mini-hub’. Lokasi hub ini terletak di atau berhampiran kawasan berpenduduk paling padat untuk memudahkan akses dan penghantaran segera kepada pelanggan. Kebun Kita juga mewujudkan peluang perniagaan berasaskan komuniti untuk penduduk tempatan dengan menawarkan skim pembahagian keuntungan sebagai ejen atau pengendali hub ini. Sehingga kini, 4 hub mini sudah beroperasi dan dijangka mempunyai 10 buah menjelang akhir tahun ini di seluruh Lembah Klang serta negeri-negeri di selatan tanah air.
Selain daripada platform B2C, Kebun Kita telah mewujudkan saluran borong bernama Borong@KebunKita. Platform ini dilancarkan untuk membolehkan perniagaan dan individu yang ingin buat pembelian secara pukal dengan harga lebih rendah dapat melakukannya. Platform Borong@Kebun Kita juga menyediakan penghantaran ke setiap negeri di Semenanjung Malaysia. Pembiayaan jangka pendek kepada ahli juga disediakan melalui pilihan Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later), dengan kerjasama IOUPay.
“Kebun Kita berhasrat untuk terus menyokong petani tempatan, dan pada masa yang sama membantu ekonomi. Kami ingin mengajak pengguna untuk membantu kami menyokong petani tempatan dengan membeli barangan tempatan,” sambung Jamalee.
“Ketika petani bertani sambil secara sedar memahami bahawa mereka menyumbang kepada keselamatan makanan negara, dan ketika pengguna membeli dengan pemahaman yang sama bahawa mereka membantu meningkatkan kehidupan petani tempatan, barulah persekitaran yang lestari dan memberi kesan langsung kepada keselamatan makanan dapat diwujudkan.”
“Kami sentiasa mencari pelabur dan rakan niaga yang berminat untuk bekerjasama dengan kami,” kata Jamalee. “Keselamatan makanan negara tidak bergantung kepada satu entiti sahaja, dan kami sedar hanya dengan lebih banyak tangan menggembleng tenaga berkerjasama dalam memikul beban ini, barulah ia dapat direalisasikan. Apa yang kami tawarkan ialah perkhidmatan dan kepakaran kami dalam membantu usaha kea rah meningkatkan keselamatan makanan di negara ini.”
Platform Kebun Kita untuk produk runcit disiarkan secara langsung di www.kebunkita.biz sementara saluran borongnya boleh dilayari di http://borong.kebunkita.biz