UM-KEBUN KITA METERAI KERJASAMA R&D BERNILAI RM JUTA UNTUK INDUSTRI TANI DAN TERNAK

15 MAC 2022, KUALA LUMPUR – Fakulti Sains Universiti Malaya telah menjalinkan kerjasama R&D dengan Patriots Food Network (Kebun Kita) dalam menghasilkan makanan ternakan berkualiti tinggi yang mampan untuk industri ternakan bernilai RM4 juta. Perjanjian ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr. Shaliza Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kebun Kita, Mohamad Jamalee Basah. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan hari ini turut disaksikan oleh Dekan Fakulti Sains, Profesor Dr. Zulqarnain Mohamed dan Ketua Operasi Kebun Kita, Intan Syafinaz Shaari.

Melalui kerjasama ini, Kebun Kita akan menumpukan pada pengeluaran cendawan kukur secara komersil dengan purata 2-4 tan setahun di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi UM di Jelebu. Kapasiti tersebut diharap mampu memenuhi permintaan pasaran tempatan spesies cendawan ini dan terokai peluang pasaran eksport.

Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr Muhamad Shakirin Mispan mengkaji potensi memanfaatkan penggunaan sisa-sisa yang bersifat kaya nutrisi daripada industri pertanian cendawan kukur dalam peningkatan pertumbuhan dan kualiti makanan ternakan.

“Cendawan kukur (Schizophyllum commune) diketahui mempunyai pelbagai khasiat perubatan dan penggunaan sisa-sisa cendawan kukur mempunyai potensi tinggi untuk meningkatkan kualiti makanan ternakan dengan ketara”, kata Dr Muhamad Shakirin.

“Kami berharap penyelidikan kami akan menjadi pemangkin dalam membolehkan kaedah organik yang lebih mampan untuk mengusahakan makanan ternakan untuk makanan ternakan dan meningkatkan nilainya,” tambahnya.

Kebun Kita positif dengan potensi pasaran cendawan kukur yang menunjukkan permintaan terhadap produk berasaskan cendawan semakin meningkat sejak beberapa tahun, termasuk untuk eksport.

Perjanjian Kolaborasi R&D Dimeterai. Dari kiri TNC (Penyelidikan & Inovasi) Profesor Ir. Dr. Shaliza Ibrahim, CEO Kebun Kita, Jamalee Basah

“Kajian-kajian yang dilaksanakan institusi pendidikan, haruslah digandingkan dengan pengalaman pemain industri supaya kebolehpasaran kajian dapat dilaksanakan, bukan sahaja di peringkat domestik, malah pada peringkat antarabangsa,” kata Jamalee.

“Kebun Kita berharap kerjasama bersama Universiti Malaya ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak kerjasama di antara institusi pendidikan dan pemain industri terutamanya dalam industri tani dan ternak” Jamalee menyimpulkan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Profesor Ir. Dr. Shaliza Ibrahim menambah, “Sebagai sebuah institusi pendidikan, kami berharap dapat bekerjasama dan menerima lebih banyak sokongan daripada industri untuk penyelidikan kami. Kami tahu kerjasama adalah kunci kepada inovasi terutamanya dalam bidang bioteknologi. Dengan kepakaran unik yang dibawa oleh setiap pihak, lebih banyak inovasi dan kemajuan boleh dibuat.” Platform Kebun Kita untuk produk runcit boleh dilawati di www.kebunkita.biz.

Shopping Cart
Scroll to Top